Khamis, 28 Disember 2017

Maximus bertanding DUN Tambunan


KOTA KINABALU : Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima dd3Dr Maximus Ongkili, membayangkan hasratnya untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Saya sudah tiga penggal di Parlimen, jadi kalau dapat saya mahu bertanding di kerusi DUN dan kemungkinan di Tambunan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media pelarasan tarif elektrik bagi Semenanjung, Sabah dan Labuan, di sini, hari ini.
Ketika ditanya lebih lanjut berkaitan hasrat itu, beliau bagaimanapun enggan memberikan kepastian, sebaliknya berkata ia perlu dibincangkan lebih lanjut dengan kepemimpinan parti termasuk Presiden PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, selaku penyandang DUN Tambunan.
Maximus yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, berkata walaupun Pairin sudah menyatakan hasratnya sebanyak 99 peratus untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang, masih ada baki satu peratus untuk beliau mengubah fikiran.
Semalam, Pairin yang ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Krismas PBS, berkata beliau akan menggunakan baki satu peratus itu untuk mendengar nasihat kepemimpinan parti berhubung pemilihan calon PBS untuk PRU-14.
Ditanya kerusi yang akan ditandinginya jika terus kekal di Parlimen, Maximus enggan memberikan kepastian sama ada terus kekal di Kota Marudu atau berpindah ke kerusi lain, termasuk Keningau yang ketika ini turut disandang Pairin.
Maximus mengambil alih tugas memimpin parti selaku Pemangku Presiden sejak Januari lalu, selepas Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mengumumkan hanya mahu menumpukan tugas sebagai menteri dalam Kabinet negeri, sehingga penggal pilihan raya sekarang berakhir.
Sebelum itu, iaitu pada November tahun lalu, Pairin yang memimpin PBS sejak 1985 mengumumkan hasratnya untuk bersara daripada politik dan menyatakan beliau mahu menghabiskan masa bersama cucu serta menyiapkan bukunya. – BH ONLINE

Jumaat, 1 Disember 2017

Kerjasama Kukuh Parti Komponen Kunci Rampas Semula DUN Inanam

LUKIN TELIBAN
Presiden Kelab Penyokong Barisan Nasional Sepanggar
KOTA KINABALU, 30 Nov (Bernama) -- Kerjasama yang kukuh dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) merupakan kunci utama menentukan kejayaan BN merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Presiden Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Sepanggar Lukin Teliban berkata semua parti komponen BN di kawasan itu yang terletak dalam Parlimen Sepanggar, perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi merealisasikan misi tersebut.
"Saya lihat dalam PRU ke-14 akan datang, BN ada peluang cerah untuk merampas semula kerusi DUN Inanam. Apa yang penting gerakan meraih sokongan pengundi perlu dilakukan secara bersama melibatkan kesemua parti komponen BN, tanpa mengira siapa pun calon yang dipilih bertanding.
"Kerjasama secara bersepadu ini penting bagi memastikan kemenangan calon BN yang akan bertanding di DUN Inanam," katanya kepada Bernama.
Kerusi DUN Inanam yang sebelum ini merupakan kubu kuat BN, terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum yang lepas apabila dimenangi Dr Roland Chia daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 3,202 undi.
Mengenai persediaan menghadapi PRU14, Lukin berkata semua parti komponen BN di Parlimen Sepanggar mempunyai peranan serta tanggungjawab bagi memastikan kejayaan BN.
"Jika jentera pilihan raya digerakkan bersama oleh semua komponen BN, ia pastinya akan memberi impak besar dan menyeluruh terhadap kejayaan BN. Kita perlu komited dalam menjayakan agenda menawan DUN Inanam.
"Untuk memenangi kawasan Inanam, kita tak boleh bergerak secara bersendirian atau individu. Bukan sesuatu yang mudah tetapi tidak mustahil bagi BN untuk melakukan kejutan jika semua parti komponen BN bersatu hati," katanya.
Selain PKR, BN dijangka berdepan beberapa calon daripada parti pembangkang termasuk Parti Warisan Sabah, Parti Cinta Sabah dan Parti Maju Sabah yang akan bertanding pada PRU-14 akan datang.
Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin dan penyokong BN di kawasan berkenaan supaya bersatu dan meletakkan kepentingan parti sebagai perjuangan.
"Berdiri atas tiket BN bukan jaminan calon menang pilihan raya dengan mudah. Parti komponen BN perlu kukuhkan perpaduan dan elak daripada sebarang konflik dalaman," katanya.
Mengenai punca kekalahan calon BN DUN Inanam pada pilihan raya lepas, Lukin yang juga Pegawai Pembangunan Masyarakat Inanam berkata terdapat beberapa faktor yang dipercayai menyumbang kepada kekalahan itu.
Katanya ini termasuk calon yang bertanding dipilih dan diumumkan pada saat akhir menyebabkan perpecahan sokongan.
"Ada penyokong yang tidak puas hati dan seterusnya mengalihkan sokongan kepada parti pembangkang.
""Itulah punca yang menyebabkan perpecahan undi khususnya daripada anggota PBS. Saya yakin PBS boleh menang semula di Inanam jika semua pihak bersatu dan mengutamakan kepentingan perjuangan parti," katanya.
Mengenai calon BN pada PRU akan datang, Lukin berkata terserah kepada pucuk pimpinan BN untuk menentukannya.
"Perkara ini biarlah pucuk pimpinan yang menentukan, tetapi jika boleh biarlah anak tempatan dan mereka yang diterima rakyat...seterusnya mengembalikan kerusi DUN Inanam kepada PBS dan BN," katanya.
-- BERNAMA

Dusunology 2021

“Kinabalu” : Penempatan Dusun kuno yang kini menjadi “Kota Kinabalu” .   Selama ini, teori umum yang paling dipercayai oleh ban...